Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Monday, 12 March 2012

Motivasi Solat

Program Motivasi Solat Remaja anjuran Surau Nurul Jannah dan Badan Kebajikan Islam Silverstone (BAKIS) pada 3/11/2012 ... 
Penceramah: Ustaz Izafri Ahmad (Jururunding, Premier Training & Consultancy)

Part 1

Part 2

Tuesday, 6 March 2012

Asal Usul Solat



Solat adalah satu latihan pembinaan kendiri untuk mendapat keredhaan ALLAH sebagai membuktikan nilai kehambaan yang bersyukur dengan segala nikmat dan kurnia ALLAH Taala kepada kita. Dengan solat yang dijaga, pembinaan potensi insani menjadi lebih berkesan dan berarah, Insyallah.
Sebenarnya, bagi makhluk bernama manusia, potensi yang ada pada diri kita ialah akal, jasad dan roh. Peningkatan akal dan jasad memerlukan latihan dan bimbingan tertentu, maka untuk peningkatan roh atau hati insan itu, adalah lebih rumit daripada bahagian-bahagian diri yang lain. Oleh itu, untuk meningkatkan roh dan hati, maka ALLAH telah mewajibkan solat 5 waktu sehari semalam yang jika diperhatikan ianya mirip kepada latihan intensif yang komprenhensif dan bersepadu menginjak pada gerakan yang sama supaya tahap penghayatan optimum dapat dikecapi seterusnya memahami hakitat penciptaan kita sebagai makhluk bertaraf Hamba hanyalah untuk beribadat kepada ALLAH Taala, Sang Pencipta Seluruh Sarwajagat.
Firman ALLAH Taala dalam al~Quran Yang Mulia yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. (al-Baqarah, ayat 021)
Solat adalah rukuk Islam yang ke-2. Sebenarnya solat 5 waktu yang difardhukan kepada Ummat Islam mempunyai sejarahnya yang sendiri. Marilah kita menyusuri sejarah setiap solat 5 kali yang kita dirikan sehari semalam itu..insyallah.
SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
  •  Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
  •  Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
  • Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.
  • Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  • Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
  • Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
  • Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.
  • Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
  • Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.
  • Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
  • Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
  • Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  • Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
  • Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.
  • Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
  • Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
  • Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikaian pula) kamu akan kembali (kepadaaNya). (al-A’raf, Ayat 029)
Sumber: Klik

Tuesday, 14 February 2012

Syarat-syarat Menjadi Imam dan Makmum Solat Berjemaah


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW memberi wasiat kepada umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebelum melaksanakan solat fardu berjemaah kita perlulah mengetahu syarat-syarat sah menjadi imam dan makmum dalam solat berjemaah.

Sebelum memulai solat dengan makmumnya, seorang imam setelah muazin selesai mengumandangkan azan dan qamat (iqamah), maka imam berdiri paling depan dan menghadap makmum untuk mengatur barisan terlebih dahulu. Jika sudah lurus, rapat dan rapi imam menghadap kiblat untuk mulai ibadah solat berjemaah dengan khusyuk.

Dalam kita mengerjakan solat berjemaah untuk lelaki saf yang paling  baik adalah saf yang paling hadapan sekali dan untuk  wanita adalah saf yang di barisan paling belakang sekali.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197)

A. Syarat Untuk Menjadi Imam Solat Berjamaah :

1. Lebih banyak mengerti dan paham masalah ibadah solat.
2. Lebih banyak hafal surah-surah al-Quran.
3. Lebih fasih dan baik dalam membaca bacaan-bacaan solat.
4. Lebih tua daripada ahli jemaah lainnya.
5. Tidak mengikuti gerakan solat orang lain.
6. Lelaki. Tetapi jika semua makmum adalah wanita, maka imam boleh wanita.

Bacaan dua rekaat awal untuk solat Zuhur dan Asar pada surah al-Fatihah dan bacaan surah pengiringnya dibaca secara perlahan (sirran  yang hanya boleh didengar sendiri, orang lain tidak jelas mendengarnya). Sedangkan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh dibaca secara  nyaring yang dapat didengar makmum. Untuk solat Jumaat, Aidulfitri, Aiduladha, Gerhana, Istiqo, Tarawih dan Witir dibaca nyaring, sedangkan untuk solat malam dibaca sedang, tidak nyaring dan tidak perlahan.

B. Syarat sah menjadi makmum dalam solat berjemaah

1. Niat untuk mengikuti imam dan mengikuti gerakan imam.
2. Berada satu tempat dengan imam.
3. Lelaki dewasa tidak sah jika menjadi makmum imam wanita.
4. Jika imam batal, maka seorang makmum maju ke depan menggantikan imam.
5. Jika imam lupa jumlah rekaat atau salah gerakan solat, makmum mengingatkan dengan membaca subhanallah dengan suara yang dapat didengar imam. Untuk makmum wanita dengan cara bertepuk tangan.
6. Makmum dapat melihat atau mendengar imam.
7. Makmum berada di belakang imam.
8. Mengerjakan ibadah solat yang sama dengan imam.
9. Jika datang terlambat, maka makmum akan menjadi masbuk yang boleh mengikuti imam sama seperti makmum lainnya, namun setelah imam salam masbuk menambah jumlah rakaat yang tertinggal. Jika berhasil mulai dengan mendapatkan rukuk bersama imam walaupun sebentar maka masbuk mendapatkan satu rakaat. Jika masbuk adalah makmum pertama, maka masbuk menepuk pundak imam untuk mengajak solat berjemaah.

C. Kedudukan Imam Dan Makmum Dalam Solat Jemaah.

1. Jika terdiri dari dua lelaki atau dua wanita saja, maka yang satu menjadi imam dan yang satu menjadi makmum berada di sebelah kanan imam agak ke belakang sedikit.

2. Jika makmum terdiri dari dua orang atau lebih maka kedudukan makmum adalah membuat barisan sendiri di belakang imam. Jika makmum yang kedua adalah masbuk, maka masbuh menepuk bahu makmum pertama untuk melangkah kebelakang membuat barisan tanpa membatalkan solat.

3. Jika terdiri dari makmum lelaki dan makmum wanita, maka makmum lelaki berada dibelakang imam, dan wanita dibelakang makmum lelaki.

4. Jika ada anak-anak maka anak lelaki berada di belakang makmum lelaki dewasa dan disusul dengan makmum anak-anak perempuan dan kemudian yang terakhir adalah makmum perempuan dewasa.

D. Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam :

1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.

2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Ini
kerana, solat yang dilakukan oleh orang yang disahkan gila tersebut
tidak sah. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat
sah tetapi adalah dibenci. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu
berulang ketika dia menunaikan solat.

3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam  solat wajib dan sunat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Masud maksudnya : "Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak  sehingga dia baligh. Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan budak atau kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna".

Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi  makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Amr bin Salamah:" Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah SAW  sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh tahun". (Hadis Riwayat Bukhari)

4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki.Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu
atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5) Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.

6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya. Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap kiblat.

7) Keadaan yang bukan makmum.Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk

8) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan.Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.

Tugas Imam Solat :
Tidak boleh menjadi imam jika sekalian makmumnya membencinya atau tiada bersetuju dengannya. Jangan ke depan juga kalau di belakang ada orang yang lebih faqih daripadanya, kecuali jika orang itu enggan ke depan, ketika itu bolehlah dia menjadi imam. Dalam hal ini, makruh masing-masing tolak menolak untuk menjadi imam.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berlumba-lumba melakukan solat fardu berjemaah di masjid atau di surau untuk mencari kelebihan dan ganjaran pahala yang lebih besar dan mencari rahmat dan keberkat di sisi Allah SWT kerana solat yang utama adalah dilakukan secara berjemaah.

Sebagai imam atau makmum dalam  solat berjemaah kita juga perlulah memahami syarat-syarat menjadi imam atau makmum supaya solat kita benar-benar menepati kehendak sunah Rasulullah SAW dan dilaksanakan dengan cara terbaik kerana pentingnya solat yang betul adalah kerana amalan manusia yang mula-mula di soal di hari akhirat adalah solatnya, jika betul dan sempurna maka barulah amalan-amalan lain akan dihisab oleh Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi ”.(Hadis Riwayat Tirmizi, Nasaei dan Ibnu Majah )

sumber: Klik

Thursday, 29 December 2011

Dakwah Solat


Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat.
Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.
“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.
“Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye”, jawab pemuda tersebut secara sinis.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.
“Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.
Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.
Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.
Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.
Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.
Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.
“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.
“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”
“Permintaan apa itu wahai tuan?”
“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.
“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.
“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.
“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Benar Tuan Syeikh”
“Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.
Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.
“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.
“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.
Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.
Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya,
“Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin, “Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini.”
“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”
“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”.
“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan.
Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.
“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan.”
“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”
“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.
“Ya benar Tuan.”
“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.
Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.
Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.
Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.
Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.
Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.
“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.
“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”
“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.
“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”
Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.
“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.
“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.
“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,” jawab Ahmad dengan penuh semangat.
“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.
Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.
Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.
Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.

Sumber: Klik

Saturday, 17 December 2011

Persoalan Solat Jama' dan Qasar



SOLAT JAMAK DAN QASAR
 
Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kpd umat Islam dlm mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir.  Kelonggaran ini dinamakan RUKHSAH SOLAT.

Sabda Rasullah SAW ;
إن الله يحب أن تؤتى رخصـه كما يكره أن تؤنى معصـيته. رواه أحمد
“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. Hadis riwayat Ahmad.
Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu Solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambilkira  kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.
 
SYARAT-SYARAT PERJALANAN (MUSAFIR) YANG DIBENARKAN UTK SOLAT QASAR/JAMAK
1. Musafir adalah utk tujuan yang baik, bukan utk melakukan maksiat.
2. Destinasi yang dituju melalui 2 marhalah (lebih kurang 91 KM).
3. Mengetahui destinasi yang dituju ( tahu jalannya, tidak tersesat).
 
HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK
1. Meringan/memudahkan umat Islam utk menunaikan solat dalam perjalanan.
2. Tanda kasih sayang Allah kepada manusia.
3. Supaya solat fardhu dapat dilaksanakan dlm apa kedaan sekalipun.
4. Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi  bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

 
SOLAT QASAR
 
Bahasa ; Pendek dan ringkas.
Istilah   ; Memendekkan solat jenis 4 rakaat kepada 2 rakaat.
Jadi, solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak.
 
SYARAT-SYARAT  SOLAT QASAR
1. Hendaklah melepasi semapadan kawasan tempat tinggal.
2. Tidak berniat bermukim melebihi  4 hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik.
3. Tidak berimamkan imam yang solat tamam (sempurna) rakaatnya.
4. Masih dlm keadaan musafir ketika mengerjakan solat Qasar.
 
Cara Solat Qasar
1. Dikerjakan hanya 2 rakaat.
2. Lafaz niat adalah spt beikut ;
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ/ العَصْر/ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor/Asar/Isya’ 2 rakaat Qasar kerana Allah Taala.

 
SOLAT  JAMAK
Bahasa : Himpun @ kumpul
Istilah   : Menghimpunkan 2 solat fardhu dalam satu waktu dgn syarat-syarat tertentu.
Solat  Jamak adalah terdiri daripada Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’.
 
Solat  Jamak terbahagi  kepada ;
1. JAMAK TAQDIM  – Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu pertama. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zohor.

SYARAT-SYARAT JAMAK TAQDIM 
1. Niat jamak dlm waktu pertama (Zohor/Maghrib).
Niat hendaklah dilakukan dalam solat terutama ketika takbiratulihram. Walau bagaimanapun, boleh dilakukan niat semasa (pada mana-mana bahagian) solat yang pertama sekalipun semasa memberi salam. (Bukannya selepas memberi salam sbb solat sudah habis/selesai).
2. Bertertib iaitu memulakan solat yang pertama (Zohor/Maghrib), kemudian diikuti dgn solat yang kedua (Asar/Isya) kerana waktu solat Jamak Taqdim adalah untuk waktu yang pertama  (Zohor/Maghrib), sedangkan solat yang kedua  (Asar/Isya), adalah pengikut bagi solat yang pertama, maka mestilah solat yang diikuti (solat pertama).
Jika dilakukan solat kedua-duanya dgn didahului oleh solat yang pertama, tiba-tiba terbatal solat yang pertama kerana tidak sempurna syarat dan rukunnya, maka terbatal juga solat yang kedua. Walau bagaimanapun, solat yang kedua menjadi solat sunat mengikut pendapat yang asah.

3. Berturut-turut kedua-dua solat iaitu tidak berlaku pemisahan yang lama di antara kedua-dua solat kerana jamak telah menjadikan kedua-dua solat tersebut sebagai satu solat, maka mestilah bersambung di antara kedua-duanya seperti rakaat-rakaat solat.
Kalau dipisahkan kedua-duanya oleh masa yang panjang walaupun kerana keuzuran spt terlupa atau pitam. Maka terbatallah jamak. Maka wajiblah ditunda solat yang kedua kepada waktunya sendiri kerana tidak memenuhi syarat jamak. Walau bagaimanapun, jika dipisahkan kedua-duanya umtuk tempoh sekejap spt oleh azan, iqamah dan bersuci maka tidak terbatal Jamak.
Tidak membatalkan jamak jika terpisah di antara 2 solat  kerana mendapatkan sedikit air utk berwudhuk kerana perbuatan tersebut adalah keperluan solat sebagaimana Iqamah, malah lebih utama lagi kerana wudhuk adalah syarat sah solat tetapi iqamah bukan syarat.

4. Perjalanan berterusan sehingga masuk waktu solat kedua. (sekurang-kurangnya TakbiratulIhram solat yang kedua). Sekalipun, selesai musafir tidak lama setelah TakbiratulIhram solat yang kedua. Tetapi jika selesai musafir sebelum memulakan solat yang kedua, maka tidak sah jamak kerana hilang sebab yang membolehkannya.
5. Kekal waktu solat yang pertama dengan yakin sehingga mendirikan solat yang kedua.
6. Zan (sangkaan yang kuat) bahawa solat yang pertama itu sah.
 
Cara melakukan solat JAMAK TAQDIM
1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu pertama dahulu  (Zohor/Maghrib) kemudian diikuti oleh Solat Waktu kedua (Asar/Isya’)
2. Selepas salam solat pertama,  sunat iqamah dan kemudian dirikan solat yang kedua.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TAQDIM
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Taqdim
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  4  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى الظّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  4  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  4  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

2. JAMAK TA’HIR - Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu kedua. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.
 
SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TA’HIR
1. Berniat melakukan solat Jamak Taqdim dalam waktu pertama (Zohor/Maghrib).
Niat hendaklah dilakukan seblum habis waktu solat yang pertama. Sekalipun waktu yang masih ada itu sekadar satu rakaat sahaja.

2. Masih dalam perjalanan sehingga kedua-dua solat selesai didirikan.
* Tertib tidak menjadi wajib kerana waktu bagi solat yang kedua (Asar/Isya’), telah masuk waktu bagi solat yang pertama (Zohor/Maghrib). Oeh itu boleh didahulukan mana-mana solat sama ada solat pertama atau solat kedua.
 
Cara melakukan solat JAMAK TA’HIR
1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu kedua dahulu (Asar/Isya’) kemudian diikuti oleh Solat Waktu pertama  (Zohor/Maghrib)
2. Selepas salam solat waktu kedua,  sunat iqamah dan kemudian dirikan solat waktu yang pertama.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TA’HIR
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Ta’hir
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  4  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
 
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  4  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  4  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
 Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
SOLAT QASAR DAN JAMAK
Selain drp melakukan solat secara Qasar @ Solat secara Jamak, kita juga diharuskan utk mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.
 
Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.
Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak adalah sama spt mengerjakan solat Jamak Taqdim dan Solat Jamak Ta’hir, Cuma ditambah Qasar sahaja… iaitu Solat Zohor/Asar/Isya’ menjadi 2 rakaat sementara solat Maghrib kekal 3 rakaat.
 
Contoh Lafaz Niat Solat Qasar dan Jamak.
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Taqdim dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ الظّهْرِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat Qasar dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى الظُّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  2  rakaat Qasar dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat Qasar dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Ta’hir dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  2  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.


Persoalan Solat Jamak Qasar Berterusan



Soalan dari kawan saya yang dihantar ke Brunei oleh majikannya untuk
menyiapkan projek IT dan tidak ada tarikh yang tetap bila beliau akan
pulang ke Malaysia. Projek tersebut mungkin akan memakan masa
berbulan-bulan. Beliau bertanya bolehkah beliau berterusan solat jamak
qasar selama di Brunei?

jawapan:

Dalam situasi ini terdapat beberapa pendapat.

1) Sekiranya dia bermusafir tetapi kemudian bermukim di satu tempat
lebih dari tiga hari maka di tidak lagi dianggap sebagi musafir. Maka
dia menyempurnakan sembahyangnya pada hari yang ke empat.

2) Sekiranya dia bermusafir kemudian dia bermukim di satu tempat tanpa
mengetahui bila dia akan pulang ke tempat asalnya maka dia dibenarkan
mengqasharkan sembahyangnya selama tugasnya belum selesai.Apabila
tugas sudah selesai maka hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya.
Tetapi sekiranya dia bermukim di satu tempat lebih dari empat hari
dengan satu tempoh yang telah diketahui maka dia tidak lagi dianggap
musafir.

3) Seorang musafir boleh mengqasharkan sembahyangnya selagi dia belum
pulang ketempat asalnya asalkan dia tidak berniat untuk bermukim di
mana-mana tempat. Akob lebih cenderung dengan pendapat ini.


Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam juga tidak membatasi jumlah
hari yang tertentu yang dibenarkan mengqashar sembahyang. Malah
kewujudan hadis-hadis dengan jumlah hari yang berbeza tersebut
menunjukkan tidak ada batasan jumlah hari yang tertentu dalam hal ini.
Perbezaan jumlah hari tersebut hanyalah menunjukkan keragaman corak
musafir Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam. Mari kita sama-sama
melihat hadis-hadis tersebut.

Dari Jabir bin Abdillah, dia berkata: "Rasulullah Shallahu 'alaihi
wasallam bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda)
mengqahsarkan sembahyang." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan
Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1046 dan Imam Ahmad, hadis no.
13625.)

Dari Imran bin Hussain, dia berkata: "Aku berperang bersama Rasulullah
Shallahu 'alaihi wasallam pada saat penaklukan kota makkah, maka
baginda bermukim di Makkah selama lapan belas malam dan tidak
sembahyang kecuali sebanyak dua rakaat (qashar)." (Hadis riwayat Imam
Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1040.)

Yahya bin Abi Ishak berkata: "Saya mendengar Anas bin Malik berkata:
"Kami pernah musafir bersama Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam dari
Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan
sembahyang secara dua rakaat (qasar kecuali maghrib) sehingga kembali
ke Madinah. Orang bertanya: "Apakah kalian sempat menginap di kota
Makkah?" Anas menjawab: "Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh
hari." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab
al-Jamaah, hadis no. 1081.)

Jelas hadis-hadis di atas Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam tidak
membatasi tempoh hari yang tertentu yang dibenarkan mengqashar
sembahyang. Malah Sayyid Sabiq Rahimahullah telah membawa beberapa
athar dari para sahabat yang menunjukkan mereka tetap mengqasharkan
sembahyang walaupun mereka singgah di satu daerah dalam jangka masa
yang lama.

Miswar bin Makhramah berkata: "Kami bermukim dengan Sa'ad di salah
satu desa di wilyah Syam selama empat puluh hari. Selama itu Sa'ad
tetap mengqasharkan tetapi kami mencukupkan." Barkata Nafi': "Abdullah
bin 'Umar bermukim di Azrebaijan enam bulan dan tetap bersembahyang
dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya." Hafash bin
Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun
dan terus bersembahyang sebagai musafir. Dan menurut Anas, para
sahabat Nabi Shallahu 'alaihi wasallam bermukim di Ramhurmuz selama
tujuh bulan dan tetap mengqasharkan sembahyang, sedang menurut Hassan,
dia bermukim dengan Abdurrahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun
dan Abdurrahaman terus mengqasharkan tapi tidak menjama'. Kemudian
Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rai
selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan
mereka tetap mengqasharkan sembahyang.)(Sayid Sabiq, Fikih Sunnah,
Jilid 1, ms. 218-219.)

Seterusnya kita akan melihat ulasan Sayyid Sabiq Rahimahullah
berkaitan dengan tempoh perjalanan yang dibolehkan mengqasharkan
sembahyang:

Seorang musafir itu boleh terus mengqashar sembahyangnya selama dia
masih dalam musafir. Jika dia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu
keperluan yang hendak diselesaikannya maka dia tetap boleh
mengqasharkan sembahyangnya sebab dia masih dianggap sebagi musafir
walaupun bermukimnya di sana sampai bertahun-tahun lamanya. Adapun
kalau dia bermaksud hendak bermukim di sana dalam waktu yang tertentu
(yang telah diketahui pada awal musafirnya-pen) maka menurut pendapat
yang terkuat yang dipilih oleh Imam Ibnu Qayyim Rahimahullah,
bermukimnya itu belum lagi menghilangkan hukum musafir, baik lama atau
sebentar, selama dia tidak berniat hendak menjadi penduduk tetap di
tempat itu. (Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 2, ms. 217.)

Setelah membawa pelbagai pendapat yang membatasi jumlah hari tertentu
yang dibolehkan mengqasharkan sembahyang, Imam Muhammad Ismail
al-Shan'ani dalam kitabnya Subulus Salam (Jilid 2, ms. 169) telah
menulis:

Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi Shallahu 'alaihi
wasallam tidak mengqasharkan sembahyang selama masa safar telah
melebihi dari waktu-waktu yang disebutkan di atas. Apabila tidak ada
dalil yang menunjukkan penetuan batas waktu, maka pendapat yang lebih
mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasharkan sembahyang
selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh
para sahabat - kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan
ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang
singah di satu tempat meskipun lama.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan apa yang kita dapati dari Sebuah
riwayat dari Abdullah ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma , dia berkata:

Adalah Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam ketika keluar dari kota
Madinah, baginda tidak menambah rakaat sembahyang-sembahyangnya
melebihi 2 rakaat (kecuali maghrib) sehinggalah baginda kembali ke
kota Madinah (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah,
Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiihaa, hadis no. 1067.)


Tentang bab Jama', maka sembahyang mengikut waktu lebih disyorkan.
Kerana menurut Syaikh al-'Utasimin Rahimahullah, Sembahyang boleh
dijama' ketika dalam perjalanan tetapi jika telah sampai ke tempat
tujuan maka lebih baik sembahyang mengikut waktu. Tapi harus diingat
Jama' bukan hanya disyaratkan bagi musafir. Sekiranya terdapat
kesulitan yang mendesak maka dia boleh mengjama'kan sembahyangnya
walupun tidak berada dalam perjalanan.

Jadi untuk rakan anda berada di Brunei dia boleh mengqasharkan
sembahyangnya sehingga kemabli ke Malaysia dan lebih disyorkan untuk
tidak mejama'kan sembahyangnya kecuali jika ada kesulitan yang
mendesak.

Saranan saya rukhshah (keringanan) yang Allah berikan ini merupakan
satu anugerah atau hadiah dari-Nya. Maka kita ambillah hadiah dari-Nya
ini. Antara manhaj Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam dalam membuat
pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan
oleh Umm al-Mukminun 'Aishah radhiallahu 'anha:

Tidaklah Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan
kecuali baginda memilih yang paling mudah diantaranya selagi tidak
mengandungi dosa. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahih
al-Bukhari, Kitab al-Hudud, hadis no. 6786.)

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada
kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang
datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat
Nabi Radhiallahu 'anhum akan mengandungi dosa. Sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Ta'ala hanya meninginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya
dan tidak memberati kita semua.

WAllahu'alam







Soal-jawab tentang solat Jama' Qasar klik sini : Klik


Sumber dan bacaan lanjut: 
1. Klik 2. Klik