Saturday, 4 February 2012

Salam Maulidur Rasul


Memperingati  dan  Merindui  Rasulullah   melalui  Maulidur Rasul
         
Semoga Rabiul Awwal mampu mengukuh dan mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin. Syahadah yang diucap adalah asas ikatan iaitu pengakuan yang satu, “ Sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah ”.Allah SWT memputerakan daripada seorang wanita bernama Aminah pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April 571M, seorang Nabi dan Rasul terakhir bernama Muhammad. Ayahanda baginda bernama Abdullah wafat semasa putera ini masih berada dalam kandungan bondanya. Datuknya Abdul Muthalib adalah daripada keturunan Arab Quraisy, yang jurai salasilah moyangnya yang bernama Qusai bin Kilab, seorang pemimpin Arab yang masyhur kerana jasanya telah berjaya  menyatukan bangsa Arab satu ketika dahulu.Lahirnya putera ini, bapa saudara baginda yang paling gembira adalah Abu Lahab sehinggakan diriwayatkan bahawa beliau telah menyembelih 100 ekor unta dan dijamu kepada kaum kerabat dan pembesar-pembesar quraisy.

Manakala datuk baginda Abdul Muthalib pula diceritakan telah membawa baginda mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali bagi melahirkan rasa kegembiraan lahirnya putera ini.Dinyatakan di dalam kitab sirah nabawiyah karangan Syeikh Ali Mansur bahawa salah seorang bapa saudara baginda yang juga seorang pemimpin Quraisy yang terkenal dikenali dengan panggilan Abu Lahab telah menyembelih 100 ekor unta kemudian memanggil kaum kerabat, juga pemimpin-pemimpin Arab bagi menyambut keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w kemudiannya telah didukung manja oleh datuknya Abdul Muthalib dan dibawa tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.  Ketika berusia 40 tahun, Rasulullah S.A.W telah membedah kepercayaan masyarakat Jahiliyyah dengan risalah Tauhid bagi membelah keyakinan Arab yang musyrik bertuhankan makhluk kepada keyakinan bertuhankan Allah Yang Esa.

Selama 13 tahun berada di Mekah baginda telah meletakkan dasar Aqidah dengan menanamkan di dada para sahabat asas-asas keimanan yang mantap dan kukuh. Keimanan ini diuji oleh Allah SWT dengan penyiksaan yang dilakukan oleh golongan quraisy ini sehinggalah Allah memerintahkan supaya orang-orang Islam Mekah ini  berhijrah ke Madinah. 10 tahun di Madinah barulah syariat-syariat lain diturun dan diamalkan oleh umat Islam.   

Kumpulan masyarakat yang menerima dakwah di Mekah dan berhijrah ke Madinah dipanggil dengan golongan Muhajirin. Manakala penduduk Madinah yang datang ke Mekah ketika musim Haji kemudian kembali ke Madinah dengan berjanji taat setia untuk membela Rasulullah SAW dipanggil dengan golongan Ansar.   Nabi SAW telah berjaya membuat satu revolusi dunia dengan menjadikan kota Madinah sebagai Negara Islam pertama di dunia. Penduduk Madinah bukan sahaja telah dibimbing dengan keagamaan oleh seorang Nabi dan Rasul tetapi bermula daripada situlah  sebuah negara yang berperlembagaan dapat ditubuhkan yang hanya bermula dari sebuah masjid iaitu Masjid an Nabawi. Pengisytiharaan Negara Madinah telah menyebabkan perubahan besar berlaku dan berkembang pesat. Wujudnya satu sistem sosial, ekonomi dan politik yang baru di zaman tersebut. Nabi s.a.w dilantik sebagai ketua negara yang berpandukan kepada berperlembagaan yang diberi nama Sahifah Madinah.

Satu sistem syura diwujudkan oleh Baginda dengan kepimpinan oleh barisan para menteri yang soleh dan bertaqwa. Benarlah firman Allah di dalam surah Yunus ayat  49 :  yang bermaksud: “ Tiap-tiap umat itu mempunyai ajal, apabila telah tiba ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkanya barang sesaat ataupun mendahulukannya ” . Tanda-tanda pemergian Rasulullah SAW telah dapat dirasai oleh para sahabat setelah pembukaan kota Mekah. Firman Allah di dalam surah An Nasr, ayat 1 yang bermaksud: “ Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong ”. Turunnya ayat 3 surah al Maidah, maksudnya: “ Hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agamamu, telah aku cukupkan bagi kamu nikmat-Ku dan Aku redha Islam itu sebagai agama kamu ” 

Kepulangan baginda ke hadrat Yang Maha Esa tepat pada tarikh keputeraan baginda pada 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah bersamaan 7 Jun 633 M ketika berusia 63 tahun. Kesedihan dan kehilangan baginda bukan kepalang hinggakan saidina Umar r.a menyatakan barangsiapa yang menyatakan bahawa Rasulullah telah wafat pasti akan dipancung lehernya. Sehinggalah ia ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar r.a. Kata-kata Saidina Abu Bakar yang dibacanya dari surah al Ahzab ayat 40, yang bermaksud: “ Muhamamd itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup Nabi-nabi ”.

Begitulah kecintaan para sahabat dan ratapan serta tangisan kehilangan baginda SAW. Ketiadaan dan kehilangannya sentiasa dirasai sehinggalah zaman ini. Generasi terdahulu telah menetapkan hari keputeraan baginda bagi memperingati Rasulullah s.a.w. Justeru itu, kita hari ini telah meneruskan sambutan itu bagi melahir dan menanamkan perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah Saw. 
       
CINTA KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W
 Firman Allah Taala yang bermaksud : 
Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (Surah Ali Imran : ayat 31) 

Dari Anas r.a dari Nabi s.a.w bersabda: 
“Tiga perkara, barangsiapa yang terdapat padanya maka ia mendapat kemanisan iman iaitu ia mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada selain daripada keduanya. Dia mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan ia benci untuk kembali ke alam kekufuran sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka”.

 Dalam satu hadis yang lain Rasulullah saw menyatakan
:“ Barangsiapa yang kasih akan daku, maka ia akan bersamaku di syurga kelak ” 
       
BENARKAH SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SUATU BID’AH

Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa, membolehkan perayaan Maulid Nabi Muhammad SAW. Perayaan seperti itu dibolehkan bagi mengingati kembali sirah perjuangan Rasulullah SAW, keperibadian Rasulullah SAW yang agung, dan misi yang dibawanya daripada Allah SWT kepada alam semesta. Menurut al-Qaradawi, perayaan Maulid Nabi SAW tidak termasuk dalam kategori bid'ah.

Dalam fatwanya, al-Qaradawi melandaskan pendapatnya dengan mengatakan bahawa memperingati kelahiran Rasulullah SAW adalah mengingatkan umat Islam terhadap nikmat luar biasa kepada mereka. "Mengingati nikmat Allah adalah sesuatu yang disyariatkan, terpuji dan memang diperintahkan. Allah SWT memerintahkan kita untuk mengingat nikmat Allah SWT, " ujar al-Qaradawi.

Namun demikian, al-Qaradawi juga mengatakan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW jangan sampai dicampuri dengan pelbagai ragam kemungkaran dan penyimpangan syariat serta melakukan apa yang tidak diperintah langsung oleh Allah SWT.

"Menganggap peringatan Maulid adalah bid'ah dan semua bid'ah itu sesat dan tempatnya di neraka, itu tidak benar sama sekali. Yang kita tolak adalah mencampurkan peringatan itu dengan berbagai penyimpangan syariah Islam dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan langsung oleh Allah SWT seperti yang terjadi di sebahagian tempat," kata al-Qaradawi.

Fatwa al-Qaradawi dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan sejumlah umat Islam yang menanyakan, "Apa hukumnya merayakan Maulid Nabi SAW dan perayaan Islam lainnya, seperti perayaan tahun baru hijriyah, Isra Mi'raj dan lain-lain?" Maka, al-Qaradawi menjawab antara lain bahawa, "Mengingat nikmat itu diperintahkan, terpuji dan memang dianjurkan. Mengingatkan umat Islam dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang di dalamnya terdapat pelajaran yang bermanfaat, bukan sesuatu yang tercela, dan tidak boleh disebut sebagai bid'ah atau kesesatan. "

Beliau menambah, "Termasuk tanggungjawab kita adalah mengingati sirah perjalanan Rasulullah SAW dalam sambutan peringatan. Ini bukan peringatan yang bid'ah. Kerana kita mengingatkan manusia dengan Sirah Nabawiyah yang mendekatkan mereka dengan misi Muhammad SAW. Ini adalah kenikmatan luar biasa. Adalah dahulu para sahabat radhiallahu anhum kerap mengingati Rasulullah SAW dalam pelbagai kesempatan. "

Antara contohnya, al-Qaradawi menyebutkan, ungkapan seorang sahabat Sa'd bin Abi Waqqas radhallahu anhu, "Kami selalu mengingatkan anak-anak kami dengan peperangan yang dilakukan Rasulullah SAW sebagaimana kami menjadikan mereka menghafal satu surah dalam Al-Quran." Ungkapan ini, menurut al-Qaradawi menjelaskan bahawa para sahabat kerap menceritakan apa yang terjadi dalam perang Badar, Uhud dan lain-lain, kepada anak-anak mereka, termasuk peristiwa saat perang Khandaq dan Bai'atur Ridhwan."

Sambutan Maulidur Rasul memang tidak dilakukan pada zaman sahabat. Sambutan ini mula dilakukan di era tabiin iaitu generasi ketiga selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.Imam Syafie r.a mentakrifkan Bid’ah kepada 2 bentuk; pertama apa juga bentuk perkara yang lakukan bersalahan dengan al quran atau sunnah atau ijma’ atau asar maka ia adalah Bid’ah Dholalah. Manakala apa juga perkara kebaikan yang dilakukan tiada bersalahan dengan al Quran, Sunnah, Ijma’ dan asar maka ia adalah Bid’ah Hasanah.Bid’ah dholalah boleh kita lihat contohnya seperti sembahyang diwajibkan lima waktu sehari semalam tetapi direka atau ditambah kepada 6 waktu.Dakwaan solat hanya memadai dengan niat sahaja tanpa perbuatan seperti yang dilakukan oleh sesetengah ajaran yang mendakwa sebagai ilmu makrifat juga tergolong dalam bid’ah ini.

Bid’ah Hasanah yang dikira elok dan membantu memperkukuh dan memelihara sunnah. Bid’ah seperti ini walaupun tidak dilakukan oleh Rasulullah saw tetapi terdapat dalil-dalil umum dari  al-quran atau hadis menyuruh atau menggalakkannya. Contohnya penulisan al quran daripada hafalan-hafalan para sahabat yang hufaz dibimbangi pada ketika itu ramai sahabat yang gugur syahid di dalam peperangan Fi Sabilillah lalu Khalifah Saidina Uthman  telah mengarahkan supaya ditulis al Quran. Justeru itu hukumnya dihukum oleh ashabus Syafie adalah wajib. Bid’ah Hasanah ini juga adakala hukumnya menjadi sunat, makruh dan harus. 

Diriwayatkan dari Imam At tarmizi, Abu Dawud, Imam Ahmad dan Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
“ Wajib ke atas kamu untuk mendengar dan patuh, meskipun ia (pemerintah) itu seorang Habsyi, kerana sesungguhnya barangsiapa di antara kamu yang hidup maka ia akan melihat banyak perbezaan-perbezaan, maka wajib ke atas kamu untuk menetapi sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar Rashidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ( peganglah ) ia dengan geraham ( erat-erat) dan takutlah kamu terhadap hal-hal yang baru kerana setiap Bid’ah itu adalah sesat ”. 

BATAS-BATAS SYARAK YANG PERLU DIJAGA UNTUK MENYAMBUT MAULIDUR RASUL
Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang hendak diadakan mesti menjaga perkara-perkara berikut : 
1.        Pakaian – hendaklah memakai pakaian yang sesuai dan tidak mendedahkan aurat. Tidak berhias secara berlebihan iaitu bertabarruj ala Jahiliyyah. Firman Allah yang bermaksud : 
Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan rasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”. (Surah al-Ahzab: ayat 33). 
2.   Pengisian yang bermanfaat dan tiada perkara maksiat dan tidak menimbulkan permusuhan di kalangan masyarakat. 
3.      Tidak menyanyi lagu-lagu yang melalaikan dan memuji selain daripada Allah dan Rasul. Tidak menyiarkan suara wanita yang mendayu-dayu dikhalayak ramai sehingga menimbulkan fitnah dikalangan kaum lelaki.
 4.     Alatan muzik yang digunakan mestilah yang diharuskan oleh syara’. 
 5.     Tidak melakukan pembaziran seperti kewangan, makanan, hiasan dan lain-lain.
 6.     Jamuan atau sumber makanan yang dijamu adalah mesti halal. Ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: 
Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada tuhannya.”          (Surah Al-Israk: ayat 27).
 7.   Tiada percampuran antara lelaki dan wanita . Mengasingkan tempat duduk antara mereka.  

HIKMAH MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 
Hikmah diadakan hari Sambutan Maulidur Rasul adalah berikut : 
1.      Memupuk rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w.
2.      Peluang dakwah kepada masyarakat
3.      Menyatupadukan umat Islam
4.      Mewujudkan mahabbah dan mengeratkan silaturahim
5.      Menghayati sirah perjalanan hidup dan perjuangan Nabi
6.      Menghayati kehebatan akhlak dan keperibadian Rasulullah s.a.w.
7.   Menjinakkan generasi muda agar cenderung kepada agama Islam sebagai generasi pelapis.
8.      Penyebaran ilmu dan syiar Islam
9.      Memberikan informasi semasa

 Wassalam.

Selamat menyambut Maulidur Rasul

Sumber: AJK Biro Dakwah Surau Nurul Jannah

No comments: