Friday 23 December 2011

Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau


Tarikh Keputusan: 
 5 May, 2011

Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau seperti berikut :
 
1. Takrif Wang Masjid/Surau
 
Wang masjid/surau dalam garis panduan ini merujuk kepada dana masjid/surau yang terkumpul hasil dari pelbagai sumber seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau.
 
2. Sumber Wang Masjid/Surau
 
Secara umumnya, pendapatan wang masjid/surau yang terkumpul diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
 
i) Wakaf tunai iaitu wakaf orang ramai dalam bentuk cek atau wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bank atau tabung wakaf masjid/surau atau diserahkan kepada pihak masjid/surau yang diamanahkan atau pembelian tapak masjid/surau dalam bentuk kaki persegi oleh pewakaf. Dana wakaf tunai yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masjid/surau berkenaan seperti pembelian tapak masjid/surau, pembinaan, penyelenggaraan, membaikpulih, pembesaran dan sebagainya yang bersangkutan dengan keperluan masjid/surau secara langsung.
 
ii) Derma khairat atau kebajikan iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank masjid/surau atau tabung yang disediakan oleh pihak masjid/surau di mana kegunaannya adalah umum meliputi pelbagai aktiviti pengimarahan masjid/surau seperti mengadakan jamuan majlis khatam Al-Qur’an, majlis meraikan jemaah kariah pergi dan balik haji, bayaran penceramah, guru agama, pengurusan dan pentadbiran masjid/surau dan sebagainya.
 
iii) Derma aktiviti khusus iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank atau tabung masjid/surau yang diwujudkan secara khusus untuk membiayai aktiviti tertentu dan dimaklumkan kepada orang ramai mengenainya seperti pungutan derma untuk majlis sambutan isra’ mi’raj, sambutan Maulidurrasul, Ihya’ Ramadhan dan sebagainya di mana wang yang terkumpul hendaklah dibelanjakan kepada aktiviti yang ditentukan itu sahaja.
 
iv) Sumbangan kerajaan iaitu sumbangan kewangan oleh pihak kerajaan yang dimasukkan ke dalam akaun masjid/surau tertentu.
 
v) Sumber-sumber lain iaitu wang masjid/surau yang terkumpul hasil daripada aktiviti jualan, kutipan sewa, keuntungan pelaburan dan sebagainya yang diusahakan oleh pihak masjid/surau.
 
3) Penggunaan Wang Masjid/Surau
 
i. Penggunaan wang wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid.
 
Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid wajiblah dibelanjakan pada pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid, membina,membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
 
ii. Penggunaan wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau tertentu.
 
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau yang tertentu, maka wajiblah dibelanjakan atau digunakan untuk manfaat dan maslahat masjid/surau yang ditentukan itu tidaklah boleh dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.
 
iii. Penggunaan wang derma khairat orang ramai untuk kemaslahatan jemaah masjid/surau.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat/kebajikan kepada sesebuah masjid/surau bolehlah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah masjid/surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid/surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah masjid, surau dan sebagainya.
 
iv. Penggunaan wang derma yang dipungut khusus bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya wajiblah dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja.
 
v. Pengurusan baki atau lebihan wang derma masjid/surau yang dipungut khas bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti/majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk mendapatkan persetujuan dan keizinan terlebih dahulu.
 
vi. Penggunaan wang derma masjid/surau yang diperolehi atau dipungut daripada penderma yang tidak diketahui niat atau tujuannya dengan jelas.
 
Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid/surau dalam membelanjakan wang derma itu.
 
vii. Penggunaan wang masjid/surau sebgai modal pelaburan untuk menjanakan pendapatan
Harus menggunakan dana masjid/surau sebgai modal pelaburan dan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan tetapi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sepertimana berikut:
 
a) Pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan dapat memberi jaminan bertulis wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan hendaklah dikembalikan semula kepada akaun masjid/surau berkenaan untuk dibelanjakan kepada kemaslahatan masjid/surau setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
 
b) Ada jaminan bertulis bahawa pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan itu kepada akaun masjid/surau jika berlaku kerugian dalam pelaburan atau perniagaaan;
 
c) Ada jaminan bertulis bahawa wang masjid/surau yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendesak;
 
d) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
 
e) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan atau perniagaan yang hendak diusahakan menggunakan wang masjid/surau dan perlu dipastikan ianya terjamis selamat;
 
f) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah; dan
 
g) Hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis atau kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri Melaka terlebih dahulu.
Status Penwartaan: 
 Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
 JMM/BFB(S)/351/437/08

Sumber: Klik

No comments: