Saturday, 31 December 2011

Sembilan waktu mustajab untuk ibu bapa nasihat anak walaupun hanya untuk seminit :

1-Sebelum anak tidur.
2-Ketika anak sedang tidur (bisikkan di telinga).
3-Selepas anak bangun tidur.
4-Selepas anak mandi.
5-Selepas anak solat.
6-Selepas anak membaca al-Quran.
7-Selepas anak berdoa.
8-Selepas anak beriadah.
9-Ketika emosi anak terangsang (contohnya selepas memarahi anak).

Ayat al-Quran yang digalakkan untuk diamalkan :

Surah al-Baqarah (apabila dibaca pada satu malam, selama tiga malam syaitan tidak masuk ke dalam rumah).

Surah al-Nahl, ayat 97 (amalan untuk mencapai kebahagiaan). Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, daripada lelaki atau wanita, sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”

Ayat akhir surah at-Taubah (baca 7 kali selepas solat fardu untuk mengharap pertolongan Allah). Firman Allah yang bermaksud: “Jika mereka berpaling, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah Allah bagiku (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang memiliki ‘Arasy yang agung.”



Sumber: Klik

Thursday, 29 December 2011

Dakwah Solat


Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat.
Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.
“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.
“Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye”, jawab pemuda tersebut secara sinis.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.
“Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.
Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.
Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.
Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.
Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.
Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.
“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.
“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”
“Permintaan apa itu wahai tuan?”
“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.
“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.
“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.
“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Benar Tuan Syeikh”
“Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.
Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.
“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.
“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.
Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.
Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya,
“Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin, “Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini.”
“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”
“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”.
“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan.
Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.
“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan.”
“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”
“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.
“Ya benar Tuan.”
“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.
Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.
Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.
Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.
Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.
Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.
“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.
“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”
“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.
“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”
Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.
“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.
“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.
“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,” jawab Ahmad dengan penuh semangat.
“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.
Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.
Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.
Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.

Sumber: Klik

Mendidik Anak Menurut Islam


Pendahuluan
Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan " Insan Rabbani" yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.
Membentuk Dunia Kanak-kanak.
Sebelum anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.
Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.
Atas itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
" wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)"
Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:
1.
Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.
2.
Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.
3.
Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.
4.
Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
5.
Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya
Setelah Anak Dilahirkan
Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.
Abu Rafi meriwayatkan sebuah hdis yang bermaksud:
" Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a"
(Riwayat Abu Daud dan Termizi)
Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:
"Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya".
( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)
Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.
Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.
Peringkat Umur antara 5 hingga 7 tahun.
Pada peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.
Menurut pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:
1.
Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.
2.
Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.
3.
Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.
4.
Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .
5.
Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.
6.
Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
7.
Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.
8.
Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.
Kesimpulan
Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

Sumber: Klik

Kesilapan Ibu Bapa dalam mendidik anak



      1. Kurang berdoa dalam proses mendidik anak
    - Doa tak mabrur jika solat tak dijaga
    - Doakan kecemerlangan guru-guru
2. Kurang tegas dalam mendidik anak
          - waktu belajar
          - waktu mengaji
          - waktu tidur
          - waktu riadah
          - lain2
          - amalkan makan malam sebelum waktu maghrib

3. Lebih banyak memberi belaian negatif (tarhib) dari belaian posif (targhib)
4. Kurang pandai menjadi kawan kepada anak-anak
Kaedah didikan mengikut peringkat umur
1 hingga 7 tahun
- didik cara gurau
8 hingga 14 tahun
- didik dengan displin dan tunjuk ajar
15 hingga 21 tahun
- didik cara kawan
21 tahun ke atas
- beri kebebasan untuk membuat keputusan
5. Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
- Anak-anak memerlukan sentuhan kasih sayang yang sama rata. Jangan membezakan kasih sayang antara anak-anak. Jika tak kasih anak, anak tidak kasih pada ibu-bapa.
Amalkan mendakap dan memeluk anak yang akan mendatang kesan kepada anak iaitu badan sihat, IQ tinggi, yakin dan mudah ikut contoh baik dari orang yang berjaya.
Anak-anak yang selalu bercakaran sesama sendiri berpunca dari rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat kasih sayang yang sama rata dari ibu bapa.
6. Kurang menghidupkan sunnah dalam rumahtangga
    - Ajar kepada anak-anak sunah nabi dan jadikan ia amalan seharian
7. Kurang menggalakkan Musyuarah dalam membuat keputusan
    - Keputusan yang di buat semasa mesyuarat walaupun silap atau salah takkan merugikan
8. Tidak menggantungkan rotan ditempat yang boleh dilihat oleh anak.
- Merotan anak adalah sunat bagi anak-anak yang meninggalkan solat. Namun elakkan dari sentiasa di lihat anak-anak kerana ia akan mendatangkan kesan psikologi yang kurang baik.
9. Kurang mengawasi pendedahan kepada Tv, Video internet dan lain-lain
- Mengikut kajian, anak bangsa melayu paling banyak menonton TV, dalam tempoh 4 jam sehari berbanding kaum Cina 4 jam seminggu
- Jika inginkan kejayaan anak, kita perlu berkorban dengan tidak menonton TV semasa minggu persekolahan
10. Tidak menggunakan masa paling jitu untuk mendidik anak (Teachble moment)
       - Sebelum tidur
Baca dan hembuskan di umbun-umbun anak kita surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Al-Insyirah
- Beri Nasihat kepada anak sebelum tidur
- Waktu anak sedang tidur, bisikkan ke telinganya kata-kata nasihat
- Waktu anak bangun tidur jiwanya bersih bagai bayi baru lahir, tarik ibu jari kaki kanannya dengan ucapan,” Kau anak yang baik,kamu anak soleh dan kamu anak yang pandai, bangun nak, pergi mandi dan sembahyang subuh”
Ramai ibu secara tidak sedar mendoakan atau menjadikan anaknya derhaka dengan menyuruh anaknya membuat satu-satu perkara dengan percakapan berulang-ulang kali. Sekali disuruh sembahyang di balas nantilah sekejap lagi, di suruh sekali lagi pergi sembahyang di balasnya nanti lah masih ada waktu lagi, anak engkar perintah ibu yang menjadikannya derhaka. Oleh itu jangan suruh anak lebih dari sekali, gunakan lah pendekatan psikologi untuk anak menuruti suruhan kita.
- Lepas mandi jiwa anak tenang berikan nasihat, jangan dimarahi kesalahan anak selepas anak selesai mandi. Kerana ia meninggakan kesan yang dalam kepada jiwa anak.
- Lepas sembahyang berjemaah, di atas sejadah berikan tazkirah dan nasihat kepada anak-anak
- Lepas mengaji/membaca al-Quran nasihati lah anak-anak dengan amalan yang baik-baik.
- Lepas Riadah, ketika ini kepenatan akan menghilangkan tekanan yang di hadapi anak-anak, berikan lah apa jua nasihat yang ingin di sampaikan kerana masa ini mudah anak-anak menerimanya.
Bagi anak-anak yang degil sukar menerima nasihat dari ibubapa bacakan petikan Al-Quran dari Surah Toha ayat 1 hingga 5 untuk melembutkan kedegilan anak-anak dan Surah Hasyr ayat 21 dan seterusnya. Bagi anak yang sukar solat baca surah Ibrahim ayat 40 bagi anak tak lupa solat.
Adalah penting ibubapa sama-sama memainkan peranan di dalam mendidik anak-anak
Jika si ibu memarahi anak-anak, bapa jangan pula turut sama memarahi anak, sebaliknya bapa membawa peranan memujuk anak tersebut dan begitulah juga jika sebaliknya. Amat penting dalan situasi ini tiada unsur sabotaj di dalam memainkan peranan masing-masing dengan memperlekekan pasangan kita di hadapan anak-anak kita.

Amalan IbuBapa Yang Cemerlang
  1. Jaga amal ibadah
  2. Solat Taubat setiap malam
  3. Istighfar dan zikir
  4. Solat Hajat dan tahajud
  5. Solat Istikharah
- Kita tidak tahu perbuatan atau keputusan yang di buat pada anak samada betul atau salah, sembahyang istiqarah membantu melegakan kebuntuan dan kerisauan kita.
  1. Solat Witir
  2. Maafkan semua orang sebelum tidur
          - kesan dari amalan ini:
i. Mensucikan hati
ii. fikiran jadi tenang
iii. Menyembuhkan penyakit
iv. Cantikkan wajah
v. Makbulkan doa
vi. Menarik hidayah dari Allah S.W.T
vii. Redha dan tak mudah patah semangat
  1. Tidak memperkecilkan kebolehan anak.
- Setiap baik atau buruk yang datang kepada setiap insan ada kebaikan untuk insan tersebut
  1. Lebih tegas dalam mendidik anak (waktu belajar, mengaji, tidur ,riadah dan lain-lain)
  2. Lebih banyak memberi belaian positif daripada negatif
- Ingatlah setiap percakapan,apa yang kita fikir dan niat dalam hati ibubapa akan menjadi doa kepada anak-anak..
- Gunakan perkataan yang baik-baik semasa interaksi dengan anak-anak. Selalu memuji anak-anak dengan pujian anak aku pandai,anak aku baik Cuma ia tidak pandai di dalam akademik.
  1. Belajar menjadi kawan kepada anak-anak.
  2. Memberi sentuhan kepada anak-anak
  3. Rumahtangga yang harmoni dan penuh kasih sayang.
- selalu amalkan sebelum tidur suami dan isteri saling memohon kemaafan
  1. Punca rezeki yang berkat dan sempurnakan zakat
  2. hubungan baik dengan guru-guru
  3. Berdoa secara positif. Buangkan rasa risau, kerana risau itu adalah bisikan syaitan.
Sumber: Klik

Waktu haram Solat



Solat adalah ibadah yang dilakukan dengan perkataan dan perbuatan khusus yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Solat wajib/ fardhu dan juga solat sunat. Solat wajib iaitu solat lima waktu manakala solat sunat pula seperti solat dua hari raya,solat sunat rawatib dan beberapa solat sunat yang lain. Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat adalah sebagaimana yang berikut:
Haram hukumnya menunaikan solat pada tiga waktu selain yang telah dikecualikan oleh sebahagian ulama’ mazhab. Waktu tersebut adalah:

1. Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik,baik solat fardhu,solat sunat,samada secara tunai atau qadha. 
Perkara tersebut berdasarkan riwayat:
Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :’” Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari ( matahari naik tegak atas kepala )dan ketika matahari condong ( hampir terbenam ) sehingga benar-benar terbenam.” ( Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud )
Ulama’ Syafi’eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit ,maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai. Menurut Ulama’ Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan ditengah-tengah solat matahari terbit,maka batal solatnya tersebut. Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja kemudian tiba waktu matahari terbenam,maka solatnya boleh diteruskan dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama’. Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
” Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat,maka dia telah mendapat solat tersebut.”
Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
” Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari,maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari,maka sempurnalah solatnya.”
Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.

2. Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit. 
Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian Ulama Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram,Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat. Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof yang beraliran Ulama Hanafiyyah. Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a berkata:
” Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari Jumaat dan bersabda:” Sesungguhnya api neraka jahanam menyala kecuali pada hari Jumaat.” ( Riwayat Abu Daud ).
Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth’im bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
” Wahai Bani Abdi Manaf  janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini ( Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat pada waktu bila pun di malam atau siang hari. ” ( Riwayat Ashabus Sunan dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )

3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah terbenamnya matahari. 
Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis-hadis di atas…Wallahua’lam..
rujukan: Fiqh Solat Empat Mazhab oleh Syekh Abdul Qadir Ar-Rahbawi

Sumber: Klik

Kelebihan Hari Jumaat




Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan an-Nawawi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi.)

Sumber: Klik

Friday, 23 December 2011

Penjelasan hudud secara santai ...


Fatwa Berkaitan Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang (Bone Ash)


Tarikh Keputusan: 
 5 Apr, 2010

Huraian Tajuk/Isu: 
Fatwa Berkaitan Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang (Bone Ash)
Keputusan: 

Dimaklumkan bahawa telah dibincang dan dibahaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 20 Rabiul Akhir 1431 bersamaan 5 April 2010. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka keputusannya adalah seperti berikut.
 
Alhamdullillah fatwanya :
 
" Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang babi adalah tidak harus mengikut hukum syara' dan wajib ditinggalkan penggunaannya.
 
Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang tidak halal dimakan selain daripada babi juga tidak harus digunakan.
 
Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang halal dimakan tetapi tidak disembelih juga tidak harus digunakan.
 
Manakala perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang haiwan yang halal dimakan yang telah disembelih adalah harus digunakan mengikut hukum syara'.
 
Fatwa ini hanya terlaksana dengan adanya pembuktian saintifik yang jelas terhadap bahan kandungan pinggan mangkukk tersebut.
 
Walaupun belum terdapat pembuktian secara saintifik dengan bahan kandungan, umat islam dinasihatkan supaya tidak menggunakan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tulang untuk mengelakkan keraguan. Ini berdasarkan hadis Rasullullah SAW :
 
Tinggalkanlah apa yang meraguka kamu kepada apa yang tidak meragukan.
(Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasai)
 
Larangan penggunaan pinggan mangkuk yang tertera di atas adalah berasaskan konsep Al-Ihtiyat (berhati-hati) demi menjamin kesucian melaksanakan ibadah dalam kehidupan ".
 
والله أعلم بالصواب
Status Penwartaan: 
 Tidak Diwartakan

Sumber: Klik

Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau


Tarikh Keputusan: 
 5 May, 2011

Keputusan: 
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau seperti berikut :
 
1. Takrif Wang Masjid/Surau
 
Wang masjid/surau dalam garis panduan ini merujuk kepada dana masjid/surau yang terkumpul hasil dari pelbagai sumber seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau.
 
2. Sumber Wang Masjid/Surau
 
Secara umumnya, pendapatan wang masjid/surau yang terkumpul diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
 
i) Wakaf tunai iaitu wakaf orang ramai dalam bentuk cek atau wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bank atau tabung wakaf masjid/surau atau diserahkan kepada pihak masjid/surau yang diamanahkan atau pembelian tapak masjid/surau dalam bentuk kaki persegi oleh pewakaf. Dana wakaf tunai yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masjid/surau berkenaan seperti pembelian tapak masjid/surau, pembinaan, penyelenggaraan, membaikpulih, pembesaran dan sebagainya yang bersangkutan dengan keperluan masjid/surau secara langsung.
 
ii) Derma khairat atau kebajikan iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank masjid/surau atau tabung yang disediakan oleh pihak masjid/surau di mana kegunaannya adalah umum meliputi pelbagai aktiviti pengimarahan masjid/surau seperti mengadakan jamuan majlis khatam Al-Qur’an, majlis meraikan jemaah kariah pergi dan balik haji, bayaran penceramah, guru agama, pengurusan dan pentadbiran masjid/surau dan sebagainya.
 
iii) Derma aktiviti khusus iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank atau tabung masjid/surau yang diwujudkan secara khusus untuk membiayai aktiviti tertentu dan dimaklumkan kepada orang ramai mengenainya seperti pungutan derma untuk majlis sambutan isra’ mi’raj, sambutan Maulidurrasul, Ihya’ Ramadhan dan sebagainya di mana wang yang terkumpul hendaklah dibelanjakan kepada aktiviti yang ditentukan itu sahaja.
 
iv) Sumbangan kerajaan iaitu sumbangan kewangan oleh pihak kerajaan yang dimasukkan ke dalam akaun masjid/surau tertentu.
 
v) Sumber-sumber lain iaitu wang masjid/surau yang terkumpul hasil daripada aktiviti jualan, kutipan sewa, keuntungan pelaburan dan sebagainya yang diusahakan oleh pihak masjid/surau.
 
3) Penggunaan Wang Masjid/Surau
 
i. Penggunaan wang wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid.
 
Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid wajiblah dibelanjakan pada pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid, membina,membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
 
ii. Penggunaan wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau tertentu.
 
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau yang tertentu, maka wajiblah dibelanjakan atau digunakan untuk manfaat dan maslahat masjid/surau yang ditentukan itu tidaklah boleh dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.
 
iii. Penggunaan wang derma khairat orang ramai untuk kemaslahatan jemaah masjid/surau.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat/kebajikan kepada sesebuah masjid/surau bolehlah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah masjid/surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid/surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah masjid, surau dan sebagainya.
 
iv. Penggunaan wang derma yang dipungut khusus bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya wajiblah dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja.
 
v. Pengurusan baki atau lebihan wang derma masjid/surau yang dipungut khas bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
 
Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti/majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk mendapatkan persetujuan dan keizinan terlebih dahulu.
 
vi. Penggunaan wang derma masjid/surau yang diperolehi atau dipungut daripada penderma yang tidak diketahui niat atau tujuannya dengan jelas.
 
Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid/surau dalam membelanjakan wang derma itu.
 
vii. Penggunaan wang masjid/surau sebgai modal pelaburan untuk menjanakan pendapatan
Harus menggunakan dana masjid/surau sebgai modal pelaburan dan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan tetapi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sepertimana berikut:
 
a) Pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan dapat memberi jaminan bertulis wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan hendaklah dikembalikan semula kepada akaun masjid/surau berkenaan untuk dibelanjakan kepada kemaslahatan masjid/surau setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
 
b) Ada jaminan bertulis bahawa pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan itu kepada akaun masjid/surau jika berlaku kerugian dalam pelaburan atau perniagaaan;
 
c) Ada jaminan bertulis bahawa wang masjid/surau yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendesak;
 
d) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
 
e) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan atau perniagaan yang hendak diusahakan menggunakan wang masjid/surau dan perlu dipastikan ianya terjamis selamat;
 
f) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah; dan
 
g) Hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis atau kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri Melaka terlebih dahulu.
Status Penwartaan: 
 Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: 
 JMM/BFB(S)/351/437/08

Sumber: Klik