Pendahuluan
|
Dibangunkan oleh Biro Penerangan Surau Nurul Jannah untuk mendekatkan jemaah dengan aktiviti surau tanpa mengambilkira latarbelakang politik
Thursday, 29 December 2011
Mendidik Anak Menurut Islam
Kesilapan Ibu Bapa dalam mendidik anak

1. Kurang berdoa dalam proses mendidik anak
- Doa tak mabrur jika solat tak dijaga
- Doakan kecemerlangan guru-guru
2. Kurang tegas dalam mendidik anak
- waktu belajar
- waktu mengaji
- waktu tidur
- waktu riadah
- lain2
- amalkan makan malam sebelum waktu maghrib
3. Lebih banyak memberi belaian negatif (tarhib) dari belaian posif (targhib)
4. Kurang pandai menjadi kawan kepada anak-anak
Kaedah didikan mengikut peringkat umur
1 hingga 7 tahun
- didik cara gurau
8 hingga 14 tahun
- didik dengan displin dan tunjuk ajar
15 hingga 21 tahun
- didik cara kawan
21 tahun ke atas
- beri kebebasan untuk membuat keputusan
5. Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
- Anak-anak memerlukan sentuhan kasih sayang yang sama rata. Jangan membezakan kasih sayang antara anak-anak. Jika tak kasih anak, anak tidak kasih pada ibu-bapa.
Amalkan mendakap dan memeluk anak yang akan mendatang kesan kepada anak iaitu badan sihat, IQ tinggi, yakin dan mudah ikut contoh baik dari orang yang berjaya.
Anak-anak yang selalu bercakaran sesama sendiri berpunca dari rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat kasih sayang yang sama rata dari ibu bapa.
6. Kurang menghidupkan sunnah dalam rumahtangga
- Ajar kepada anak-anak sunah nabi dan jadikan ia amalan seharian
7. Kurang menggalakkan Musyuarah dalam membuat keputusan
- Keputusan yang di buat semasa mesyuarat walaupun silap atau salah takkan merugikan
8. Tidak menggantungkan rotan ditempat yang boleh dilihat oleh anak.
- Merotan anak adalah sunat bagi anak-anak yang meninggalkan solat. Namun elakkan dari sentiasa di lihat anak-anak kerana ia akan mendatangkan kesan psikologi yang kurang baik.
9. Kurang mengawasi pendedahan kepada Tv, Video internet dan lain-lain
- Mengikut kajian, anak bangsa melayu paling banyak menonton TV, dalam tempoh 4 jam sehari berbanding kaum Cina 4 jam seminggu
- Jika inginkan kejayaan anak, kita perlu berkorban dengan tidak menonton TV semasa minggu persekolahan
10. Tidak menggunakan masa paling jitu untuk mendidik anak (Teachble moment)
- Sebelum tidur
Baca dan hembuskan di umbun-umbun anak kita surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Al-Insyirah
- Beri Nasihat kepada anak sebelum tidur
- Waktu anak sedang tidur, bisikkan ke telinganya kata-kata nasihat
- Waktu anak bangun tidur jiwanya bersih bagai bayi baru lahir, tarik ibu jari kaki kanannya dengan ucapan,” Kau anak yang baik,kamu anak soleh dan kamu anak yang pandai, bangun nak, pergi mandi dan sembahyang subuh”
Ramai ibu secara tidak sedar mendoakan atau menjadikan anaknya derhaka dengan menyuruh anaknya membuat satu-satu perkara dengan percakapan berulang-ulang kali. Sekali disuruh sembahyang di balas nantilah sekejap lagi, di suruh sekali lagi pergi sembahyang di balasnya nanti lah masih ada waktu lagi, anak engkar perintah ibu yang menjadikannya derhaka. Oleh itu jangan suruh anak lebih dari sekali, gunakan lah pendekatan psikologi untuk anak menuruti suruhan kita.
- Lepas mandi jiwa anak tenang berikan nasihat, jangan dimarahi kesalahan anak selepas anak selesai mandi. Kerana ia meninggakan kesan yang dalam kepada jiwa anak.
- Lepas sembahyang berjemaah, di atas sejadah berikan tazkirah dan nasihat kepada anak-anak
- Lepas mengaji/membaca al-Quran nasihati lah anak-anak dengan amalan yang baik-baik.
- Lepas Riadah, ketika ini kepenatan akan menghilangkan tekanan yang di hadapi anak-anak, berikan lah apa jua nasihat yang ingin di sampaikan kerana masa ini mudah anak-anak menerimanya.
Bagi anak-anak yang degil sukar menerima nasihat dari ibubapa bacakan petikan Al-Quran dari Surah Toha ayat 1 hingga 5 untuk melembutkan kedegilan anak-anak dan Surah Hasyr ayat 21 dan seterusnya. Bagi anak yang sukar solat baca surah Ibrahim ayat 40 bagi anak tak lupa solat.
Adalah penting ibubapa sama-sama memainkan peranan di dalam mendidik anak-anak
Jika si ibu memarahi anak-anak, bapa jangan pula turut sama memarahi anak, sebaliknya bapa membawa peranan memujuk anak tersebut dan begitulah juga jika sebaliknya. Amat penting dalan situasi ini tiada unsur sabotaj di dalam memainkan peranan masing-masing dengan memperlekekan pasangan kita di hadapan anak-anak kita.
Amalan IbuBapa Yang Cemerlang
- Jaga amal ibadah
- Solat Taubat setiap malam
- Istighfar dan zikir
- Solat Hajat dan tahajud
- Solat Istikharah
- Kita tidak tahu perbuatan atau keputusan yang di buat pada anak samada betul atau salah, sembahyang istiqarah membantu melegakan kebuntuan dan kerisauan kita.
- Solat Witir
- Maafkan semua orang sebelum tidur
i. Mensucikan hati
ii. fikiran jadi tenang
iii. Menyembuhkan penyakit
iv. Cantikkan wajah
v. Makbulkan doa
vi. Menarik hidayah dari Allah S.W.T
vii. Redha dan tak mudah patah semangat
- Tidak memperkecilkan kebolehan anak.
- Setiap baik atau buruk yang datang kepada setiap insan ada kebaikan untuk insan tersebut
- Lebih tegas dalam mendidik anak (waktu belajar, mengaji, tidur ,riadah dan lain-lain)
- Lebih banyak memberi belaian positif daripada negatif
- Ingatlah setiap percakapan,apa yang kita fikir dan niat dalam hati ibubapa akan menjadi doa kepada anak-anak..
- Gunakan perkataan yang baik-baik semasa interaksi dengan anak-anak. Selalu memuji anak-anak dengan pujian anak aku pandai,anak aku baik Cuma ia tidak pandai di dalam akademik.
- Belajar menjadi kawan kepada anak-anak.
- Memberi sentuhan kepada anak-anak
- Rumahtangga yang harmoni dan penuh kasih sayang.
- selalu amalkan sebelum tidur suami dan isteri saling memohon kemaafan
- Punca rezeki yang berkat dan sempurnakan zakat
- hubungan baik dengan guru-guru
- Berdoa secara positif. Buangkan rasa risau, kerana risau itu adalah bisikan syaitan.
Sumber: Klik
Waktu haram Solat
Solat adalah ibadah yang dilakukan dengan perkataan dan perbuatan khusus yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Solat wajib/ fardhu dan juga solat sunat. Solat wajib iaitu solat lima waktu manakala solat sunat pula seperti solat dua hari raya,solat sunat rawatib dan beberapa solat sunat yang lain. Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat adalah sebagaimana yang berikut:
Haram hukumnya menunaikan solat pada tiga waktu selain yang telah dikecualikan oleh sebahagian ulama’ mazhab. Waktu tersebut adalah:
1. Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik,baik solat fardhu,solat sunat,samada secara tunai atau qadha.
Perkara tersebut berdasarkan riwayat:
Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :’” Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari ( matahari naik tegak atas kepala )dan ketika matahari condong ( hampir terbenam ) sehingga benar-benar terbenam.” ( Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud )
Ulama’ Syafi’eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit ,maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai. Menurut Ulama’ Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan ditengah-tengah solat matahari terbit,maka batal solatnya tersebut. Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja kemudian tiba waktu matahari terbenam,maka solatnya boleh diteruskan dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama’. Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
” Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat,maka dia telah mendapat solat tersebut.”
Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
” Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari,maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari,maka sempurnalah solatnya.”
Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.
2. Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit.
Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian Ulama Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram,Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat. Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof yang beraliran Ulama Hanafiyyah. Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a berkata:
” Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari Jumaat dan bersabda:” Sesungguhnya api neraka jahanam menyala kecuali pada hari Jumaat.” ( Riwayat Abu Daud ).
Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth’im bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
” Wahai Bani Abdi Manaf janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini ( Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat pada waktu bila pun di malam atau siang hari. ” ( Riwayat Ashabus Sunan dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )
3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah terbenamnya matahari.
Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis-hadis di atas…Wallahua’lam..
rujukan: Fiqh Solat Empat Mazhab oleh Syekh Abdul Qadir Ar-Rahbawi
Sumber: Klik
Kelebihan Hari Jumaat
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).
Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)
Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392)
Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).
Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan an-Nawawi)
Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi.)
Sumber: Klik
Friday, 23 December 2011
Fatwa Berkaitan Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang (Bone Ash)
Tarikh Keputusan:
5 Apr, 2010
Huraian Tajuk/Isu:
Fatwa Berkaitan Pinggan Mangkuk Berasaskan Serbuk Tulang (Bone Ash)
Keputusan:
Dimaklumkan bahawa telah dibincang dan dibahaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 20 Rabiul Akhir 1431 bersamaan 5 April 2010. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka keputusannya adalah seperti berikut.
Alhamdullillah fatwanya :
" Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang babi adalah tidak harus mengikut hukum syara' dan wajib ditinggalkan penggunaannya.
Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang tidak halal dimakan selain daripada babi juga tidak harus digunakan.
Penggunaan perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang halal dimakan tetapi tidak disembelih juga tidak harus digunakan.
Manakala perkakas pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (Bone Ash) yang diperbuat daripada serbuk tulang haiwan yang halal dimakan yang telah disembelih adalah harus digunakan mengikut hukum syara'.
Fatwa ini hanya terlaksana dengan adanya pembuktian saintifik yang jelas terhadap bahan kandungan pinggan mangkukk tersebut.
Walaupun belum terdapat pembuktian secara saintifik dengan bahan kandungan, umat islam dinasihatkan supaya tidak menggunakan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tulang untuk mengelakkan keraguan. Ini berdasarkan hadis Rasullullah SAW :
Tinggalkanlah apa yang meraguka kamu kepada apa yang tidak meragukan.
(Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasai)
Larangan penggunaan pinggan mangkuk yang tertera di atas adalah berasaskan konsep Al-Ihtiyat (berhati-hati) demi menjamin kesucian melaksanakan ibadah dalam kehidupan ".
والله أعلم بالصواب
Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau
Tarikh Keputusan:
5 May, 2011
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau seperti berikut :
1. Takrif Wang Masjid/Surau
Wang masjid/surau dalam garis panduan ini merujuk kepada dana masjid/surau yang terkumpul hasil dari pelbagai sumber seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau.
2. Sumber Wang Masjid/Surau
Secara umumnya, pendapatan wang masjid/surau yang terkumpul diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
i) Wakaf tunai iaitu wakaf orang ramai dalam bentuk cek atau wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bank atau tabung wakaf masjid/surau atau diserahkan kepada pihak masjid/surau yang diamanahkan atau pembelian tapak masjid/surau dalam bentuk kaki persegi oleh pewakaf. Dana wakaf tunai yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masjid/surau berkenaan seperti pembelian tapak masjid/surau, pembinaan, penyelenggaraan, membaikpulih, pembesaran dan sebagainya yang bersangkutan dengan keperluan masjid/surau secara langsung.
ii) Derma khairat atau kebajikan iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank masjid/surau atau tabung yang disediakan oleh pihak masjid/surau di mana kegunaannya adalah umum meliputi pelbagai aktiviti pengimarahan masjid/surau seperti mengadakan jamuan majlis khatam Al-Qur’an, majlis meraikan jemaah kariah pergi dan balik haji, bayaran penceramah, guru agama, pengurusan dan pentadbiran masjid/surau dan sebagainya.
iii) Derma aktiviti khusus iaitu derma orang ramai dalam bentuk cek atau tunai ke dalam akaun bank atau tabung masjid/surau yang diwujudkan secara khusus untuk membiayai aktiviti tertentu dan dimaklumkan kepada orang ramai mengenainya seperti pungutan derma untuk majlis sambutan isra’ mi’raj, sambutan Maulidurrasul, Ihya’ Ramadhan dan sebagainya di mana wang yang terkumpul hendaklah dibelanjakan kepada aktiviti yang ditentukan itu sahaja.
iv) Sumbangan kerajaan iaitu sumbangan kewangan oleh pihak kerajaan yang dimasukkan ke dalam akaun masjid/surau tertentu.
v) Sumber-sumber lain iaitu wang masjid/surau yang terkumpul hasil daripada aktiviti jualan, kutipan sewa, keuntungan pelaburan dan sebagainya yang diusahakan oleh pihak masjid/surau.
3) Penggunaan Wang Masjid/Surau
i. Penggunaan wang wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid.
Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid wajiblah dibelanjakan pada pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid, membina,membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
ii. Penggunaan wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau tertentu.
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid/surau yang tertentu, maka wajiblah dibelanjakan atau digunakan untuk manfaat dan maslahat masjid/surau yang ditentukan itu tidaklah boleh dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.
iii. Penggunaan wang derma khairat orang ramai untuk kemaslahatan jemaah masjid/surau.
Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat/kebajikan kepada sesebuah masjid/surau bolehlah dibelanjakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah masjid/surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid/surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah masjid, surau dan sebagainya.
iv. Penggunaan wang derma yang dipungut khusus bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya wajiblah dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja.
v. Pengurusan baki atau lebihan wang derma masjid/surau yang dipungut khas bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu.
Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti/majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk mendapatkan persetujuan dan keizinan terlebih dahulu.
vi. Penggunaan wang derma masjid/surau yang diperolehi atau dipungut daripada penderma yang tidak diketahui niat atau tujuannya dengan jelas.
Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid/surau dalam membelanjakan wang derma itu.
vii. Penggunaan wang masjid/surau sebgai modal pelaburan untuk menjanakan pendapatan
Harus menggunakan dana masjid/surau sebgai modal pelaburan dan perniagaan bagi tujuan menjana pendapatan tetapi hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sepertimana berikut:
a) Pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan dapat memberi jaminan bertulis wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan hendaklah dikembalikan semula kepada akaun masjid/surau berkenaan untuk dibelanjakan kepada kemaslahatan masjid/surau setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;
b) Ada jaminan bertulis bahawa pihak Jawatankuasa masjid/surau berkenaan bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah wang masjid/surau yang dilaburkan atau diperniagakan itu kepada akaun masjid/surau jika berlaku kerugian dalam pelaburan atau perniagaaan;
c) Ada jaminan bertulis bahawa wang masjid/surau yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendesak;
d) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;
e) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan atau perniagaan yang hendak diusahakan menggunakan wang masjid/surau dan perlu dipastikan ianya terjamis selamat;
f) Pelaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah; dan
g) Hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis atau kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri Melaka terlebih dahulu.
Subscribe to:
Posts (Atom)

